Malaysia Dateline

MP lompat parti dianggap proses pembersihan dalam PKR

PKR bukan sehelai daun, sebaliknya ia umpama sebuah pokok yang akan terus menyuburkan walaupun semua daun yang dijangkiti gugur dengan sendirinya.

Malah PKR tidak lemah, sebaliknya menyedari bahawa apa yang sedang berlaku merupakan proses pembersihan demikian nukilan yang dizahirkan oleh Timbalan Ketua Penerangan, Parti Keadilan Rakyat, Manivannan Gowin.

“Sejak kebelakangan ini PKR sedang melalui beberapa siri ujian mengenai ciri-ciri politik dan kesinambungan parti termasuklah beberapa tokoh politik terkenal yang telah dihasilkan oleh parti atas nama perjuangan dan reformasi, menempuh perjalanan yang berbeza sehingga menimbulkan persoalan apakah PKR semakin lemah dan berkecai dengan perkembangan terkini.

“PKR merupakan satu-satunya parti yang dibentuk hasil perjuangan dan ketidakadilan serta rungutan ini mendorong untuk memperjuangkan keadilan dan memimpin kita untuk memperjuangkan agenda reformasi.

“Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup seorang pemimpin akan terserempak dengan kata-kata seperti perjuangan, ketidakadilan dan reformasi dan kata-kata ini bukan hanya sekadar manis dibibir saja, tetapi ia menjadi tonggak kewujudan serta telah menjadi darah daging dalam pengembaraan politik sehinggakan menjadi garis panduan ciri-ciri dan prinsip perjuangan kesinambungan parti,” ujar beliau.

Tambahnya, sepanjang 23 tahun PKR telah melalui saat-saat yang tidak dapat dilupakan serta menggembirakan termasuklah melintasi beberapa episod tikam belakang, ketidakpercayaan dan ketidaksetiaan serta tidak terkecuali secara sengaja atau tidak sengaja menyerah diri kepada racun yang paling berbahaya dalam perjalanan politik.

Kata beliau lagi, pemimpin yang berubah menjadi pengkhianat dan menikam dihati yang terluka berulang kali, dalam semua situasi ini kepimpinan PKR tetap berdiri teguh sebagai batalion yang kuat serta menyedari bahawa ia merupakan proses pembersihan.

Menurut Manivannan, walaupun PKR pernah dirujuk sebagai ‘parti nyamuk’ tetapi kini ia tetap akan terus bangkit melawan semua muslihat dan ancaman dengan lebih kuat dan gagah, tidak akan lemah dan berkecai untuk terus bangkit menghadapi pertempuran.