Malaysia Dateline

MP Nibong Tebal pula dijangkiti Covid-19

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin.

Wakil rakyat Bersatu berumur 71 tahun berkenaan memberitahu tidak mengalami sebarang komplikasi dan gejala akibat virus tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu memaklumkan beliau dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama tiga hari.

“Saya masih dalam pemantauan. Alhamdulillah, tidak ada komplikasi dan gejala.

“Doktor memaklumkan saya sudah boleh menjalani kuarantin di rumah jika mahu,” lapor BH.

Sebelum ini, Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri.

Pada 23 Julai lalu, semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah keselamatan bagi menghadiri Sidang Khas Parlimen, esok.

Terdahulu, sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen didapati positif jangkitan wabak itu selepas menjalani ujian calitan kelmarin, sementara empat Ahli Parlimen lain dikatakan menjadi kontak rapat dan beberapa petugas juga dikesan dijangkiti Covid-19.