Malaysia Dateline

MP Nibong Tebal rebah seketika ketika perbahasan

Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Memetik laporan Malaysiakini hari ini, Anggota parlimen Wong Chen (PKR-Subang), yang duduk bersebelahan dengannya, kemudian cuba membantunya manakala ahli parlimen lain turut bergegas untuk memberikan bantuan.

Susulan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, meminta mana-mana anggota parlimen yang juga adalah doktor perubatan supaya memberikan bantuan.

Dia kemudian menangguhkan persidangan Dewan Rakyat selama lima minit.

Malaysiagazette pula dipetik melaporkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen antara individu pertama yang sedar akan keadaan  Dr. Mansor yang mula hilang imbangan dan kemudiannya rebah.

Malah Wong Chen berkata, suara Mansor berubah sebelum rebah dan berjaya dipegang oleh beliau.

“Saya segera bangun dan memegangnya, dan segera Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh bergegas dari belakang,” katanya kepada media.

Sejurus kemudian Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii tampil memberikan rawatan.

“Pada mulanya, kita buat ruang untuk dia berbaring.

“Salah satu perkara pertama ialah mengangkat kakinya.

“Sebab utama mungkin adalah tekanan darah rendah.

“Walaupun dia sudah sedar sekarang, dia masih perlu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu Mansor rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 jam 3.18 petang tadi.

Berita harian pula dipetik melaporkan  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pemeriksaannya dan doktor Parlimen mendapati tekanan darah Mansor sudah kembali normal.

“Alhamdulillah dia sudah ok. Mungkin tekanan darah turun sikit tadi tapi kini sudah pulih, tapi masih perlu ikut prosedur dan akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan sepenuhnya.

“Ketika saya sampai di dalam Dewan Rakyat tadi, dia sudah boleh bercakap. Saya tanya kenal tak siapa (saya), dia jawab kenal. Tekanan darah pun sudah naik, kandungan gula pun ok.

“Doktor kata, mungkin dia rebah akibat ‘syncopal attack’. Bila awak bangun, bercakap, kemudian tekanan darah tiba-tiba menurun sikit menyebabkan pitam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mansor kini dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan.

Datok Mansor ketika menaiki kerusi roda selepas menerima rawatan di klinik Parlimen untuk dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut..