Malaysia Dateline

MP Pakatan Harapan rayu Agong bertitah segerakan sidang Parlimen

Ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan (PH) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan malam ini berkata, empat perkara akan dapat dibentangkan sekiranya Seri Paduka Baginda memperkenankan titah sedemikian.

Pertama, pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.

Kedua, keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk jadual imunisasi vaksin kepada rakyat.

Ketiga, keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40).

Keempat, keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak kami juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan supaya tidak diadakan sidang Parlimen semasa tempoh darurat, Anwar berkata, hal itu amat menghampakan kerana bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku.

“Lantaran itu, demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar bagi memastikan semak dan imbang, kami dengan penuh tawadhu’ memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong untuk menggunakan wewenang Duli Tuanku,” katanya lagi.

LANJUT MENYUSUL