MP Pas sokong pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada sesi Parlimen nanti

MP Pas sokong pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada sesi Parlimen nanti

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri hari ini menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengatasi gejala pemandu mabuk sehingga menyebabkan banyak kematian orang awam.

Katanya, beliau juga menyokong saranan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya pindaan akta itu mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat Mac ini dan tidak ditangguhkan kepada Jun atau Julai.

“Ini kerana usaha mengkajinya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sejak 2018 dan 2019 lagi, dan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa manusia hilang.

“Sedangkan negara-negara bukan Islam di Benua Asia seperti Taiwan dan China pun telah mengetatkan undang-undang jalan raya mereka, termasuk bagi menghukum mati pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam, begitu juga negara bukan Islam di Benua Eropah seperti Sweden dan di Benua Amerika seperti sesetengah negeri di Amerika Syarikat.

“Paling asas adalah untuk menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol yang pernah dicadangkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Othman Talib, atau menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang mengakibatkan kemalangan maut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam isu sama, Mohd Khairuddin menyifatkan Malaysia adalah sebuah negara Islam, justeru amat wajar dipertimbangkan saranan Datuk Tuan Ibrahim iaitu adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam, serta adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam.

“Perlu dititikberatkan juga aspek penguatkuasaan bersepadu daripada semua agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan.

“Jika penguatkuasa boleh dihantar ke restoran bagi menahan rakyat yang merokok, mengapa penguatkuasa tidak dihantar ke pusat hiburan yang menghidangkan alkohol bagi menahan rakyat yang memandu dalam keadaan mabuk?,” soalnya.