MP Pasir Gudang saran PH hormati kerjasama Umno-Pas

MP Pasir Gudang saran PH hormati kerjasama Umno-Pas

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya anti demokrasi untuk berhadapan dengan gabungan Umno-Pas.

Beliau berkata, kerjasama Umno-Pas adalah cabaran terbesar kepada PH. Jika parti komponen dalam PH ujarnya boleh bergabung untuk menentang BN dalam PRU14, maka tidak ada salah pada hari ini , Umno-Pas bekerjasama untuk menentang PH pada PRU15 kelak.

“Politik demokrasi liberal yang diamalkan di Malaysia adalah satu pertandingan permainan angka.Siapa dapat jumlah banyak mengatasi lawannya, maka dialah yang jadi pemenang.

“Dalam Pilihanraya Umum ke15 (PRU15) akan datang ada tiga pengubah permainan.Yang pertama ialah kerjasama politik umno dan Pas.Yang kedua ialah pendaftaran pengundi baru secara otomatik.Yang ketiga ialah umur layak mengundi 18 tahun.

“Yang akan menentukan siapa yang akan menang dalam PRU15 ialah lebih 20 juta pengundi pelbagai kaum dan agama yang menjadi warganegara.

“Selagi Umno-Pas bergerak secara sah dan aman mengikut undang undang negara dan undang undang pilihanraya yang ada sekarang, maka PH yang mendukung kedaulatan undang undang dan keluhuran perlembagaan harus menghormati dan mengalu-alukan kerjasama Umno-Pas.

“Juara yang hebat di gelanggang adalah mereka yang dapat menewaskan lawan yang kuat, bukannya itek tempang.,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Pengerusi PKR Negeri Johor ini juga turut menasihati PH agar lebih beretika dan tidak bermain kotor terhadap Umno.

“Jangan haramkan Umno kerana hal remeh temeh dan teknikal.Takkan nak bunuh Umno sekali lagi? Sambut cabaran kerjasama politik Umno-Pas dengan semangat demokrasi liberal yang telah diterima semua pihak termasuk Pas lebih 60 tahun melalui 14 kali pilihanraya umum.

“Percayalah PH jika terus jujur dan ikhlas untuk menjadi blok politik yang mempunyai dasar sederhana dalam politik arus perdana dengan ciri ciri bersifat inklusif, menolak politik sempit kaum dan agama, mengutamakan isu sosio- ekonomi rakyat akan diterima oleh rakyat untuk terus jadi kerajaan dalam PRU15 akan datang,” ujarnya lagi.

Justeru katanya lagi, bagi memastikan kemenangan PH itu, kerajaan hari ini perlu kembali mengotakan janji dalam manifesto pilihana raya, tiada lagi pusingan u dalam membuat keputusan membabitkan dasar kerajaan perlu dihentikan dan tidak mengulanginya lagi.

Dijangka Umno-Pas akan memeterai perjanjian kerjasama  dalam menghadapi PRU15 kelak Setiausaha Agung Umno yang juga Sekretariat Taawun Umno-Pas dalam kenyataannya pada 5 September lepas, turut mempelawa wakil parti politik dalam kerajaan menghadiri Majlis Tandatangan Piagam Taawun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September ini demi memberi kefahaman sebenar mengenai kerjasama dua parti itu.