Malaysia Dateline

MP Pasir Mas dikecam tidak malu makan gaji buta

Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat Ahmad Fadhli Shaari hari ini dikecam rakyat kerana makan gaji buta disebabkan gagal bekerja untuk rakyat.

Dalam satu siaran video di saluran YouTube Jeming Hassan, Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Kelantan Haji Rushdan Mustafa secara terbuka mengecam Fadhli yang disifatkan sebagai tidak malu kerana makan gaji buta.

“Kita minta tamatkan darurat supaya Parlimen boleh bersidang, malangnya Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari yang sebelum ini dikatakan pemimpin pelapis harapan, ada masa depan cerah dalam politik, akhirnya tak berani nak minta Parlimen bersidang,” kata beliau.

Ketua Amanah Kawasan Pasir Mas itu juga kesal kerana akibat dari Parlimen tidak bersidang, akhirnya ahli parlimen dilihat seperti tiada kerja yang sepatutnya dibuat untuk membawa suara dan permasalahan rakyat.

“Baru-baru ini, tiba-tiba Fadhli muncul dalam video di Facebooknya, menjadi pemandu pelancong, promosi industri budu dan etok, ini bukan kerja ahli parlimen jadi pemandu pelancong!.

“Tidak malukah Fadhli digelar makan gaji buta, tiap bulan ambil gaji sebagai ahli parlimen, tapi langsung tak berani bersuara nak minta darurat ditamatkan, jauh sekali nak minta parlimen bersidang?

“28 ribu pengundi yang memenangkan kamu di Pasir Mas ini mahu kamu bawa suara mereka di Parlimen, bukan untuk jadi pemandu pelancong”, bidas beliau lagi.

Oleh kerana Fadhli yang muda ini pun tak boleh jadi harapan untuk membawa dan memperjuangkan suara rakyat, lebih baik kamu berhenti jadi ahli parlimen dan balik ke rumah kamu di Limbat,” kata Rushdan lagi.

Sehingga hari ini, masih tidak kedengaran suara dari ahli parlimen blok kerajaan terutama dari Pas untuk meminta supaya darurat ditamatkan dan mendesak supaya Parlimen dibuka untuk persidangan.

Sebelum ini para ahli parlimen dan pimpinan dari parti itu dilihat berwatak hero yang memperjuangkan suara rakyat, sehingga Fadhli pernah mengecam PH tidak malu kepada rakyat kerana bawa usul undi tidak percaya kepada PM.