Malaysia Dateline

MP pembangkang bantah usul ganti Speaker

Ketika ini usul untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya menyaksikan bantahan beberapa pihak sehingga tercetusnya petisyen dari rakyat Malaysia yang mendesak untuk kedua-duanya dikekalkan di Parlimen.

Hari ini, Ahli-Ahli Parlimen dari parti blok pembangkang menyatakan tidak bersetuju dan membantah cadangan penukaran Mohamad Ariff sebagai Speaker dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Pakatan Harapan (PH), Bersatu, Warisan Sabah, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam satu kenyataan bersama, mengingatkan bahawa jawatan tersebut harus berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik.

“Kedua-dua mereka telah berkhidmat dengan penuh sikap profesional sebagai pengelola dan timbang tara Dewan yang mulia, dan tidak ada asas yang kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya.

“Sejak pelantikan Tan Sri Yang Dipertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen telah dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.

“Langkah-langkah pembaharuan telah diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; PKR, Fahmi Fadzil; DAP, Alice Lau Kiong Yieng; Bersatu, Dr Maszlee Malik.

Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Liew Vui Keong; UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; dan PSB, Baru Bian.

Mengulas lanjut, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyenaraikan beberapa kejayaan yang berjaya dilakukan Mohamad Ariff termasuklah penubuhan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas.

Antaranya Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender; serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Groups) untuk lebih merakyatkan Parlimen.

Tegasnya, Parlimen merupakan institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat.

“Maka ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Sulit kepada Speaker Dewan Rakyat, Fatihah Salahuddin mencabar agar dibuktikan beliau pernah mempengaruhi keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga usul menamatkan lantikan Speaker itu dibawa ke Parlimen.

Ia susulan dakwaan bahawa usul dilucutkan jawatan berikutan tindak tanduk pegawai Mohamad Ariff yang dikatakan kerap mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama dua pegawainya yang ketika ini merupakan ahli pimpinan dalam AMANAH.

Pada masa sama, satu 0etisyen yang mendesak kerajaan untuk tidak meneruskan langkah membawa usul berkenaan juga ketika ini sudah mendapat lebih 12,000 tandatangan dari sasaran sebanyak 15,000 sokongan.

Petisyen yang digerakkan Bersih 2.0 itu dimuatnaik sejak lima hari lalu di laman change.org