Malaysia Dateline

MP Pembangkang bermesyuarat di Parlimen pagi ini, minta #Tamatdarurat

Buat pertama kalinya ahli Parlimen pembangkang, dengan diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul di bangunan Parlimen hari ini selepas perintah darurat dikenakan.

Mereka berkumpul di bangunan sementara Parlimen untuk membincangkan tiga agenda iaitu berkaitan pandemik Covid-19, kedudukan ekonomi dan suasana politik terkini.

“Kami juga menyatakan sokongan terhadap kempen #TamatDarurat,” kata ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada Malaysia Dateline.

Dalam majlis itu, kesemua ahli Parlimen yang hadir menyatakan sokongan agar darurat di tamatkan dan Parlimen dibuka semula untuk membolehkan sidang Parlimen diadakan.

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memberikan taklimat mengenai pandemic Covid-19 kepada semua ahli parlimen pebangkang itu.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming pula memberikan taklimat mengenai kedudukan ekonomi manakala Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memberikan taklimat mengenai kedudukan politik negara.

Pertemuan yang bermula jam 10 pagi itu berakhir hampir dua jam kemudiannya.

Bagi Khalid, pertemuan ini membuktikan sidang Parlimen boleh dijalankan seperti biasa sepanjang perintah darurat dikenakan.

“Pertemuan ini membuktikan sidang Parlimen boleh berjalan dengan SOP tertentu,” kata beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kempen #TamatDarurat itu.