Malaysia Dateline

MP pembangkang nafi terima peruntukan RM100,000 seperti MP Umno

Ahli Parlimen pembangkang menafikan mereka menerima peruntukan dari kerajaan sebanyak RM100,000 untuk kawasan Parlimen mereka seperti yang didakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendakwa, pihak pembangkang tidak mendapat peruntukan yang dijanjikan walau hanya satu sen.

“Mana ada Ahli Parlimen pembangkang dapat RM100,000? Saya Ahli Parlimen Segambut satu sen pun tak dapat tahun ini,” ciapnya di Twitter.

Perkara tersebut turut disokong Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang memberitahu beliau juga tidak menerima apa-apa peruntukan.

“Lembah Pantai tak terima,” tulis Fahmi.

Ia turut dipertikaikan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar yang menggesa Menteri Kewangan untuk memberi penjelasan berhubung perkara betkenaan.

Beliau mempersoalkan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus menafikan peruntukan kepada pengundi di kawasan-kawasan Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya minta Menteri Kewangan @tzafrul_aziz jelaskan. Sekarang sudah Februari. Apakah dinafikan terus pada tahun ini peruntukkan untuk pengundi di kawasan Ahli-ahli Parlimen pembangkang?

“Dan apakah juga dinafikan peruntukkan Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang tidak sokong @MuhyiddinYassin?,” soalnya.

Terdahulu, dalam satu siaran langsung di Facebook, Zahid mendakwa beliau dan beberapa Ahli Parlimen parti itu mendapat peruntukan bagi kawasan masing-masing sama seperti wakil rakyat pembangkang.

Presiden Umno itu berkata, kawasan Parlimennya hanya mendapat RM100,000 setahun untuk 2021, berbeza dengan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat RM3.7 juta setahun.