Malaysia Dateline

MP persoalkan kenapa ibu bapa tidak dapat bersama anak semasa disuntik

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil membangkitkan aduan ibu bapa tidak dapat bersama anak mereka sewatu diberi suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vasin (PPV).

Beliau telah menerima aduan daripada seorang bapa yang tidak dapat bersama anaknya sewaktu diberikan suntikan vaksin.

“Kenapa sesetengah PPV remaja benarkan ibu bapa ikut sampai ke bilik pemberian vaksin, tapi banyak juga PPV yang tak benarkan? soal beliau.

Ini kerana katanya, sebelum ini pernah berlaku pemberian ‘vaksin kosong’ termasuklah yang terbaru beberapa hari yang lalu di PPV Universiti Malaya.

“Dalam kes terbaharu ni, sebab mak ramaja itu ada di sebelah anak dan rakam video baru mereka tahu anak itu diberi “vaksin kosong”.

“Kalau mak itu tak video, budak tu takkan tahu!” kata beliau.

Justeru beliau meminta ibu bapa mesti dibenarkan untuk berada bersama anak mereka (the children are minors after all) di tempat pemberian vaksin.

Ramai ibu bapa menzahirkan rasa tidak puas hati apabila mereka tidak dibenarkan menemani anak-anak ketika dibilik suntikan vaksin.

Melalui facebook, seorang ibu yang menggunakan akaun Salmiyah Harun turut mempersoalkan tindakan PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) yang tidak membenarkan ibu bapa menemani anak-anak kerana mahu menjaga SOP.

“Apa salahnya ibu bapa temankan anak. Paling tidak kami tahu dan saksi anak dicucuk vaksin berapa mililiter, betulkah vaksin Pfizer? Atau adakah picagari kosong?.

“Tolonglah benarkan ibu bapa teman anak ketika dicucuk. Paling kurang ibu bapa boleh mengawasi anak-anak mereka untuk rehat yang secukupnya selepas vaksin supaya tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini,”kata ibu berkenaan yang menemani anaknya berumur 17 tahun.

Terdahulu, tular video remaja berumur 12 tahun diberi suntikan vaksin pada 30 September lalu, bagaimanapun picagari yang digunakan tidak mengandungi vaksin Pfizer sebagaimana ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataannya memohon maaf atas kecuaian seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas remaja berkenaan.