Malaysia Dateline

Khalid Abdul Samad

MP PH kritik BN mahu swasta pacu dana pembangunan

Perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat menyaksikan Ahli Parlimen BN dilihat mengalihkan tanggungjawab pembangunan kepada pihak swasta dalam apa yang dianggap bagi meminimumkan pergantungan kepada kerajaan.

Sikap itu dikritik Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) dan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) yang berbalas hujah dengan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tingg kelmarin.

Khalid berpendapat ungkapan seperti pembangunan dipacu oleh sektor swasta hanya mengelirukan orang awam kerana pihak swasta hanya berorientasikan keuntungan sehingga menyebabkan rakyat kemudiannya menanggung kos tinggi perbelanjaan.

“Ini istilah yang mengelirukan orang. Bila kita cakap pembangunan dipacu oleh sektor swasta, maknanya kalau nak bina hospital, biar bina hospital swasta. Swasta ini dia buat sebab nak untung.

“Akhirnya, rakyat yang kena bayar. Dia (swasta) buat lebuh raya maknanya dia mahukan keuntungan,” tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional itu.

Sebaliknya, beliau berkata, perbelanjaan kerajaan dalam pembangunan bukan bersifat keuntungan.

“Ia dilakukan hasil kutipan cukai dan pendapatan maka kerajaan buat jalan raya, hanya dikenakan cukai jalan.

“Buat hospital hanya (kos) ‘aircond’. Murahlah. Tapi bila kita kata dipacu oleh sektor swasta, maksudnya rakyat kena bayar. Adakah itu cadangan yang hendak dibawa oleh Jasin?” soal Khalid.

Walau bagaimanapun, Ahmad sekadar menjawab, “Kerajaan juga ada masalah, kekangan. Kita minta kalau boleh menteri jawab nantilah,” sebelum mahu meneruskan perbahasannya yang menyokong Bajet 2018.

“Ramai rakyat gembira bahawa Bajet 2018 adalah yang terbaik sejak 60 tahun lalu. Ia telah dirangka secara berhemah dan pragmatik. Bukan saja berjanji bahkan ditunaikan. Kita punya kemampuan untuk melaksanakannya.

“Daripada bayi dalam kandungan sehinggalah kepada warga emas yang sakit dan sihat daripada petani sehingga flat di bandaraya mendapat faedah daripada Bajet 2018,” hujahnya.

Terdahulu, Chin Tong ketika mencelah berkata, belanjawan kali pertama dibentangkan Najib Razak (BN-Pekan) pada 2010 memperuntukkan 27 peratus bagi pembangunan berbanding hanya 16 peratus dalam Bajet 2018.

“Peruntukan pembangunan tidak boleh dipacu sektor swasta. Adakah Jasin setuju peruntukan pembangunan ini (Bajet 2018) di tahap yang rendah iaitu 16 peratus sahaja sedangkan tadi Jasin kata ini bajet paling baik di dunia,” soalnya.

Bagaimanapun, Ahmad dalam reaksinya berkata,” Kita (Kerajaan BN) tidak sempurna. Kita akan lihat pada penambahbaikan.”

Sementara itu, Noor Ehsanuddin menganggap pelaburan yang lebih besar daripada sektor swasta membantu bagi memacu transformasi ekonomi di negara ini.

“Kita mengurangkan pergantungan kepada sektor awam. Pihak pembangkang agak dangkal dalam melihat keperluan mengurangkan pergantungan kepada kerajaan,” tuduhnya.

Susulan itu, Ahmad menyambung penjelasan kononnya kerajaan akan mengambil kira dan mempertimbangkan cadangan penambahbaikan dan kritikan membina berkaitan belanjawan tahun depan.

“Saya minta ini Parlimen, kalau Jasin dan Kota Tinggi setuju, kita boleh buat usul bersama supaya bajet boleh diubah,” sambut Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP.