Malaysia Dateline

MP PH lapor SPRM bantuan bakul makanan dibolot PN

Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya kepincangan dalam pengagihan bantuan bakul makanan yang sepatutnya diagihkan di Parlimen masing-masing.

Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong mendakwa, bantuan barangan makanan yang sepatutnya diedarkan di Parlimennya telah diberikan kepada komponen Perikatan Nasional (PN).

Beliau mendakwa, bantuan tersebut diserahkan kepada parti komponen PN secara tidak sah dan dirampas dengan restu dari beberapa ahli politik.

“Pada 23 April, saya mendapat tahu JKM Segamat telah pun menyerahkan 1,000 bakul makanan yang disediakan kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Saya yakin bahawa bakul makanan yang dimaksudkan untuk Labis sama ada diberikan secara tidak sah atau telah dirampas kerana sebelum ini saya dimaklumkan bahawa JKM Segamat diarahkan untuk mengedar bakul makanan mengikut cadangan saya.

“Hal ini sangat dikesali dan saya mengutuk mereka yang berkuasa yang sengaja memilih untuk mempolitikkan bantuan makanan untuk orang miskin pada masa krisis pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Hok Liong, dek kerana perbalahan politik, individu-individu berkenaan sanggup mementingkan diri sendiri dan bukannya menunjukkan keprihatinan sebenar terhadap kesejahteraan golongan yang sangat memerlukan.

Menurutnya, dalam taklimat yang dihadirinya di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat awal bulan lalu, pegawai JKM memaklumkan sebanyak 1,000 bakul makanan bernilai RM100 setiap satu akan dihantar ke Pusat Servis atau premis anggota Parlimen yang ditetapkan.

Katanya, seperti yang dinyatakan pegawai JKM, Azmi Abd Karim, bakul makanan akan diedarkan oleh anggota Parlimen dari rumah ke rumah dengan kerjasama APM dan RELA.

Namun katanya, beberapa hari kemudian beliau dimaklumkan bahawa proses pengagihan bantuan makanan tersebut akan diuruskan sendiri oleh JKM.

“Saya kemudian memintanya (Azmi) memberi tarikh dan jadual pengagihan bantuan. Saya berhasrat mengikuti JKM untuk memastikan bakul makanan dihantar kepada keluarga yang disasarkan dan nilai makanan yang dihantar bernilai RM100 setiap bakul

“Namun mereka enggan memberikan jadual dan waktu pengagihan barangan makanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan sambil mendakwa, JKM Segamat cuba berdolak dalih ketika beberapa kali cubaannya mendapatkan maklumat dan penjelasan sebenar.

Hok Liong berkata, laporan kepada SPRM itu juga dibuat bersama dengan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Beliau mendesak SPRM untuk menyelidik secara teliti aduan yang dilaporkannya itu.