Malaysia Dateline

MP PKR pula anggap PH tidak perlu sibuk bina gabungan perdana

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menegaskan hasrat untuk gabungan perdana atau ‘grand coalition’ melibatkan parti-parti politik sebagai tidak penting.

Sebaliknya, wakil rakyat dari PKR itu berpendapat tumpuan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) patut diberi kepada Pakatan Harapan (PH) yang diiktiraf dari segi undang-undang.

“Jadi, bagi saya, kita tumpukan di mana kekuatan yang kita ada sekarang. Jangan dikejar tak dapat; yang dikindung berciciran.

“Mengejar gabungan perdana ibarat mengejar fatamorgana (khalayan); PH yang sudah ada dibiarkan layu dan gerhana,” katanya.

Hassan Karim

Sehubungan itu, beliau berkata, PH perlu memberi tumpuan di mana blok tiga parti iaitu PKR, AMANAH dan DAP itu bertapak pada masa ini.

“Tiga parti dalam PH ini mempunyai sejarah lama bekerjasama dalam front pembangkang sejak Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah ke Pakatan Harapan.

“Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah supaya pimpinan tertinggi PH tidak sibuk-sibuk untuk membina gabungan perdana yang gah dan indah dalam namanya sahaja tetapi lopong dan rapuh dalam rangka, struktur serta substance,” tegasnya.

Untuk rekod, PKR pada masa ini memiliki 38 kerusi manakala DAP (42) dan AMANAH 11 kerusi Parlimen.

Hassan menambah memadailah dengan PH sebagai satu unit bersatu dan padu gabungan rasmi front pembangkang.

Jelasnya, cukup PH untuk mengadakan kerjasama longgar dalam bentuk persefahaman pilihan raya sahaja dengan parti-parti pembangkang lain seperti Warisan, Pejuang, Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau Malaysian United Democratic Alliance (Muda).