MP Rantau Panjang turut tinjau mangsa banjir  di jajahan

MP Rantau Panjang turut tinjau mangsa banjir di jajahan

Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra meninjau mangsa banjir di Rantau Panjang bersama pimpinan kerajaan negeri yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof semalam.

Duli Tuanku telah meluangkan masa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi.

Sebelum itu Duli Tuanku telah meninjau kawasan sekitar Rantau Panjang dengan menaiki kenderaan tentera dan bomba untuk meninjau pekan Rantau Panjang sebelum menaiki bot menyelusuri Sungai Golok.

Siti Zailah yang turut berada dalam tinjauan tersebut berkesempatan melawat Pusat Pemindahan Banjir di Kampung Kersang.

“Melawat pusat perpindahan banjir di Kampung Kersang pada jam 11 malam tadi memberi bantuan dalam bentuk makanan, keperluan barangan wanita dan kanak-kanak.

“Sebuah madrasah dijadikan pusat pemindahan banjir di Kampung Kersang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau sempat melawat dua orang pesakit strok yang menjadi mangsa banjir di jajahan itu yang tidak berpindah. Selain melihat persediaan makanan bagi mangsa banjir di dua buah pusat pemindahan untuk menyampaikan bantuan.

“Pagi hingga petang penuh jadual terpaksa kerja lebih masa sampai malam.

“Saya juga ziarahi salah seorang pesakit strok di Kampung Jeram Perdah yang tidak dapat di bawa ke pusat pemindahan kerana tidak berdaya.

“Kebetulan di rumahnya ada sebuah loteng, keluarganya telah menempatkan bapanya yang menghidapi strok di situ dan anaknya memantau keadaannya.

“Saya boleh masuk perahu dalam rumahnya kerana paras air mencecah paha pada jam 10 malam tadi,” ceritanya yang membuat tinjauan keadaan banjir yang melanda di jajahan Rantau Panjang bersama pimpinan Menteri Besar, Setiausaha Kerjaan Negeri, Ketua Polis Kelantan, dan beberapa pimpinan kanan kerajaan yang turut hadir.

Terkini dilaporkan keadaan banjir di pantai timur terutama Kelantan bertambah buruk dengan hampir 21,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini.

Sejumlah 12,636 penduduk daripada 4,307 keluarga di Kelantan ditempatkan di 62 pusat pemindahan di lapan jajahan.

Sementara sebanyak 45 sekolah di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh ditutup.

Sebahagiandaripada barang keperluan harian dan makanan bagi mangsa banjir diserahkan kepada pasukan penyelamat untuk diedarkan kepada mangsa.

 

Siti Zailah terpaksa mengunakan sampan untuk mengulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang tidak dapat ke pusat pemindahan.

Siti Zailah ketika meninjau sebuah keluarga yang mana bapa mereka menghidapi strok dan tidak dapat dipindahkan.

Siti Zailah membantu petugas muslimat tolong memasak bagi pusat pemindahan banjir di sekolah menengah agama yang menempatkan 200 mangsa banjir.

COMMENTS

Wordpress (0)