Malaysia Dateline

MP Segamat tapi ada peneroka di Tanjung Karang mengadu masalah

Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu yang menarik perhatian ramai kerana bercuti panjang di New Zealand mendakwa ada peneroka di Ladang Tennamaram, Tanjung Karang, Selangor mengadu masalah kepadanya.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, mereka berbuat begitu ke pejabatnya sambil meminta bantuan, lapor Malaysiakini.

Bekas wakil rakyat PKR yang lompat parti itu berkata demikian ketika ditemui hadir dalam demonstrasi sekumpulan peneroka terbabit siang tadi.

Santhara memberitahu walaupun lokasi itu jauh dari kawasan parlimen yang diwakilinya dan bukan terletak dalam Wilayah Persekutuan, dia tetap datang untuk menyatakan kebersamaannya dengan kira-kira 100 peneroka terbabit.

Santhara Kumar

Turut hadir dalam aksi unjuk rasa mengecam kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu ialah Pengerusi Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Noh yang juga bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendakwa peneroka terbabit membantah tindakan kerajaan negeri Selangor mempajakkan tanah yang mereka usahakan sejak tahun 1965 kepada dua syarikat.

Kedua-dua syarikat yang didakwa hanya berusia dua bulan ditubuhkan itu menerima pajakan tanah sehingga 21 tahun.

“Kerajaan negeri sepatutnya melakukan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Ladang ini telah diterokai sejak tiga generasi,” kata Noh.