Malaysia Dateline

MP Segambut persoal MT Umno ‘meriah’ berkumpul, tidak pakai pelitup muka

Ketika Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dilihat ‘meriah’ berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Hal ini dibangkitkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memandangkan PWTC berada dalam kawasannya.

“Adakah kita sudah boleh berkumpul? Meriah sekali. Untuk industri, 10 peratus staf saja boleh ke pejabat. Keluarga nak keluar makan bersama pun susah,” katanya di Twitter.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga berkongsikan klip video Bernama yang memperlihatkan Ahli MT Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak memakai pelitup muka.

“Begitu bagus boleh berjalan dengan bebas tanpa pelitup muka. Orang begitu ramai,” kata Hannah.

Sehubungan itu, Naib Ketua Wanita DAP berkenaan berharap Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan jumlah saman yang dikenakan terhadap mereka yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Esok boleh tak umum berapa saman dikeluarkan?” sindirnya.

Selain Abdul Rahman, terdapat juga pemimpin Umno yang mengenakan pelitup muka tidak sempurna termasuk di dagu seperti Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Walau bagaimanapun beberapa Ahli MT Umno dilihat hadir menjejakkan kaki di PWTC dalam keadaan memakai pelitup muka.

Antaranya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Hari ini, Ismail mengumumkan lanjutan PKPB bermula esok selama 14 hari lagi sehingga 9 November ekoran masih terdapat lokasi berisiko tinggi bagi penularan jangkitan Covid-19 sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.