Malaysia Dateline

MP semua dah divaksin, tak perlu sidang Parlimen secara hibrid

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu membuka semula persidangan Parlimen secara hibrid.

Wakil rakyat AMANAH itu berkata, persidangan secara maya dan kehadiran fizikal tidak perlu memandangkan semua Ahli Parlimen telah menerima suntikan vaksin yang bermula sejak 26 Februari lalu.

“Tiada masalah nak pinda peraturan mesyuarat untuk boleh sidang secara hibrid tapi kalau dah semua divaksin tak perlu secara hibrid kecuali tercirit.

“Memang kerajaan PN ni dah busuk kerana cirit,” perlinya di Twitter.

Pelan konsep mengadakan Parlimen hibrid ini berasaskan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan maya.

Semalam, kerajaan PN bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya juga memaklumkan Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Katanya, persidangan itu bagi memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu lagi.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Bagaimanapun, baginda telah dua kali bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan dan berkuat kuasa pada 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan menggariskan sebarang peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, tidak mempunyai kesan dan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.