Malaysia Dateline

MP Sepang ada cara tersendiri ceriakan si cilik mangsa banjir

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menyifatkan pemberian barangan mainan kepada kanak-kanak mangsa banjir dapat mengelak golongan tersebut daripada berterusan dihimpit tekanan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu menghadiahkan barangan mainan yang menarik kepada kanak-kanak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen) tersebut berpendapat pemberian barangan mainan itu diharap membantu menggembirakan hati mereka yag sedang berduka akibat banjir besar sejak 18 Disember lalu.

“Lihat kanak-kanak gembira dapat barangan mainan hilang sikit rasa hiba,” katanya.

Selain PPS SK Kota Warisan, Hanipa turut menziarahi mangsa banjir dan menghadiahkan permainan buat kanak-kanak di PPS Bandar Seri Ehsan dan Bukit Changgang.

Beliau dalam masa sama menyampaikan sumbangan inflatable kayak kepada pasukan penyelamat yang bertugas di sekitar Sepang.

Hanipa (berbaju merah) menyampaikan barangan mainan kepada kanak-kanak di pusat pemindahan banjir.