Malaysia Dateline

MP Seremban sedia juadah sahur kepada ‘frontliner’ sepanjang Ramadan

Menyedari cabaran yang begitu tinggi perlu diharungi oleh ‘frontliners’ yang tidak jemu bertugas melawan COVID-19 ketika berpuasa, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook menyumbang 160 pek makanan kepada mereka.

Anthony menyumbang 160 pek makanan untuk bersahur setiap hari bermula 6 hingga 23 Mei kepada petugas Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

“Sebagai tanda sokongan moral kepada petugas front liners di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, pejabat saya akan menyumbang 160 pek makanan untuk sahur setiap hari bermula 6 hingga 23 Mei. 12 hari pertama telah ada penyumbangnya,” katanya.

Bagi memberikan keyakinan kepada semua, beliau hanya memilih ‘caterer’ yang beragama Islam.

Bukan itu sahaja, beliau turut membahagikan tempahan itu kepada beberapa suri rumah dari Taman Ampangan supaya memberikan sedikit pendapatan kepada mereka sebelum Hari Raya.

“Kos setiap pek ialah RM5. Kos untuk setiap hari ialah RM800 dan untuk 18 hari berjumlah RM14,400.

“Saya cukup lega apabila seorang rakan FB yang bernama CH Kek telah ‘bank in’ RM10 ribu ke pusat khidmat saya untuk tajaan ini. Bakinya akan ditanggung oleh pejabat saya.

“Salam Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua umat Islam!” katanya.