Malaysia Dateline

MP Shah Alam bantu beli hasil pekebun jagung, ratusan keluarga B40 dapat manfaat

Sebahagian daripada 900 keluarga B40 di kawasan Parlimen Shah Alam menerima edaran jagung manis kelmarin.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, jagung itu mulanya dibeli pihaknya bagi mengatasi masalah lambakan makanan itu di pasaran.

“Kasihan para petani, disebabkan wabak Covid-19 melanda negara, lambakan jagung menjadi masalah utama kerana hasil tuaian sukar untuk dipasarkan.

“Alhamdulillah, saya bersama pasukan Parlimen Shah Alam membeli hasil mereka untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

“InsyaAllah dengan pembelian dari Parlimen Shah Alam ini, sebahagian 900 keluarga kategori B40 di bawah Parlimen Shah Alam akan mendapat manfaat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional berharap agar inisiatif tersebut dapat meringankan beban pekebun dan rakyat.

“Tinggi harapan kami dengan sedikit usaha ini dapat membantu semua pihak, baik dari pekebun sampailah kepada penerima,” ujar Khalid lagi.