Malaysia Dateline

MP Shah Alam belanjakan RM60,000 edar barangan makanan keperluan

Walaupun perbelanjaan Parlimen pembangkang dipotong oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), pejabat Ahli Parlimen Shah Alam tetap membelanjakan RM12,000 sehari untuk memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan akibat Civid-19.

Zulkefli Nani, salah seorang sukarelawan Shah Alam menyerahkan bantuan kepada penerima dengan menjaga jarak 1 meter. Penerima itu mengambil sendiri pek yang disediakan untuk beliau.

“Hari ini sudah masuk hari kedua dan kami dah belanjakan lebih RM24,000 untuk pembahagian ini,” kata Ketua Pemuda AMANAH Shah Alam, Firdaus Mokhtar.

Mereka mensasarkan 1,000 penerima yang terdiri dari penduduk Shah Alam akan menerima bantuan khas yang diberikan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad ini.

“Duit ini bukan datang dari saya sahaja tetapi juga orang awam yang prihatin dengan Shah Alam termasuk dari saya sendiri dan rakan-rakan,” kata Khalid ketika ditanya dari mana datang wang untuk menjayakan projek ini.

“Kami jangka operasi ini berjalan selama lima hari dan bajet yang ditetapkan adalah RM60,000,” katanya lagi.

Menurut Ketua AMANAH Shah Alam, Azli Yusof, sehingga hari ini, sudah lebih 400 kumpulan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka dalam kesempitan menerima bantuan ini.

“Hari ini hari kedua misi Bantuan Keperluan Asas oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam berikutan perintah kawalan pergerakan @ Covid – 19,” kata Azli Yusof kepada Malaysia Dateline.

Operasi bantuan yang mereka buat ini bukan saja-saja mahu melanggar arahan “Duduk Di Rumah” oleh kerajaan tetapi mereka lakukannya dengan mematuhi segala garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Azli, mereka cuba dengan sedaya upaya untuk mematuhi arahan Kementerian Kesihatan termasuk memakai topeng muka, membersih tangan dengan senitizer dan mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain termasuk dengan penerima.

Dua buah kenderaan sukarelawan yang penuh dengan barangan siap untuk turun menyampaikan sumbangan.

Pematuhan arahan KKM ini bukan sahaja ketika penyampaian bantuan ini dibuat bahkan ketika pasukan sukarelawan mereka menyusun barangan keperluan yang hendak di beri.

Antara barangan yang diberikan bagi setiap pek adalah beras (5 kg), tepung gandum (1 kg), gula (2 kg), garam (400 g), minyak masak (1 kg), beehun (1 kg), sardin 2 tin besar, biskut ( 1 pek), kopi (20 uncang), teh (100 pcs), mee maggi ( 12 pcs) dan susu pekat.

Setiap satu pek barangan yang mereka berikan ini berharga RM52 yang dibungkus oleh para sukarelawan.

“Kami ada 35-40 petugas sukarela pada setiap hari membantu menyusun dan membungkus barangan dan seterusnya ada lapan pasukan menyerahkan barangan kepada penerima,” kata Azli kepada Malaysia Dateline.

Barangan yang sudah siap dimasukkan ke dalam beg siap untuk diserahkan.