Malaysia Dateline

MP Shah Alam cadang PH lantik ketua penyokong kerajaan pastikan cukup korum

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mencadangkan Pakatan Harapan (PH) melantik ketua penyokong kerajaan dalam kalangan ahli Parlimen parti pemerintah untuk memastikan korum mencukupi di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, masalah tidak cukup korum kerana PH hanya mempunyai ketua whip bagi setiap parti komponennya.

“Maknanya, semua ahli Parlimen kerajaan perlu ada seorang ketua.

“Saya syorkan semua ketua whip duduk berbincang dan putuskan sesama mereka sementara menunggu keputusan Majlis Presiden,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat tertangguh 6 minit kerana tidak cukup korum dan ia disambung semula selepas 35 ahlI Parlimen berada dalam dewan.

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1) menyatakan perlu ada 26 ahli Parlimen, tidak termasuk speaker untuk menyambung persidangan.

Khalid yang juga Menteri Wilayah berkata, ahli Parlimen PH mengadakan mesyuarat semalam, tetapi belum membuat keputusan berhubung pelantikan ketua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong akan meminta parti komponen PH mengadakan mesyuarat bagi memilih seorang ketua yang bertanggungjawab memastikan ahli Parlimen kerajaan memasuki dewan dan mempunyai korum secukupnya selepas lonceng dibunyikan.

Dalam perkembangan sama hari ini,  Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub dipetik berkata, bersetuju dengan cadangan supaya elaun bulanan Ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat dipotong sekiranya ketidakhadiran mereka mengganggu perjalanan mesyuarat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga, berkata, tindakan itu boleh diambil jika Ahli  Parlimen dengan sengaja tidak hadir tanpa satu alasan yang kukuh.