MP Shah Alam tuntut CEO IKSIM mohon maaf, bayar RM1 juta

MP Shah Alam tuntut CEO IKSIM mohon maaf, bayar RM1 juta

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mengeluarkan notis tuntutan tujuh hari kepada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) Datuk Prof Mahamad Naser Disa, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Khalid berkata, Mahamad menuduh beliau menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 dalam pembentangan kertas kerja di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam pada 28 September lalu.

Khalid menuntut Naser membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam akhbar perdana dan membayar pampasan RM1 juta atau berdepan tindakan undang-undang.

“Saya nak bagi tahu dia, kalau dia mengharapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama dia untuk hadapi saman daripada saya atau dia mengharapkan exco agama (Datuk Ahmad Yunus Hairi) untuk bela dia berdasarkan surat Jais hantar, saya minta maaf dia tak akan dapat perlindungan daripada Jais.

“Saya juga yakin tidak juga daripada exco agama (Selangor). Saya nasihatkan dia, tak payah bawa ke mahkamah, terima surat yang kita beri ini.

“Runding dengan saya daripada nak hadapi mahkamah dan dimalukan dalam mahkamah kerana tuduhan dia buat dalam masjid jelas satu pembohongan atau fitnah,” katanya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, semalam.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata tuduhan itu boleh dianggap fitnah kerana RUU355 belum dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata dakwaan seperti itu antara strategi yang digunakan Umno dan BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

“Tujuan untuk burukkan Pakatan Harapan atau parti anggota kononnya kita anti Islam.

“Dia bawa isu RUU355 sedangkan kita tengok RUU355 Pas pun tak nak bawa. Yang tunda perbahasan pun PAS kerana nak bertanding 130 kerusi lepas tu nak undi orang bukan Melayu.

“Ini corak politik yang tidak amanah dan tidak telus,” katanya.

CATEGORIES
TAGS