Malaysia Dateline

Takiyuddin Hassan

MP sokong Anwar: Pas tuntut penjelasan Umno

Pas menuntut Umno memberikan penjelasan ekoran tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ramai Ahli Parlimen parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas terpanggil untuk mendapatkan penjelasan daripada Umno berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli-Ahli Parlimen Umno terhadap Perdana Menteri.

“Pas merasakan jika benar keadaan ini, ianya bermakna Umno telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019,” kata Takiyuddin dalam kenyataan itu.

Sukacita diingatkan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kitu, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatu-padukan umat Islam dalam negara, sekaligus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan AMANAH.

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, Bersatu, Pas, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH.

“Sehubungan itu Pas berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Umno atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak Umno untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” kata Takiyuddin.