Malaysia Dateline

MP Sri Aman nafi beri sokongan kepada Mahathir

Ahli Parlimen (Bebas) Sri Aman, Masir Kujat menafikan beliau  menandatangani akuan berkanun (SD) untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi video di laman facebook, beliau berkata, apa yang diumumkan  hari ini adalah tidak benar.

“Saya menafikan bahawa saya menyokong dan menurunkan SD kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Saya ingin menjelaskan perkara ini tidak benar.

“Saya telah menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebagaimana rakyat Malaysia maklum telah diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong petang tadi,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Justeru beliau berkata, isu ini (lantikan perdana menteri) tidak menjadi isu politik.

” Saya mohon perkara ini tidak jadi isu politik supaya kita dapat hormati keputusan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan kepentingan Negeri Sarawak,” ujarnya.

Nama Masir Kujat diletakkan dalam senarai penuh SD di nombor ke 114 bagi sokongan oleh MP Bebas yang didedahkan senarainya oleh Dr Mahathir  selepas selesai mesyuarat pimpinan utama Pakatan Harapan malam tadi.