Malaysia Dateline

MP Sri Aman sokong pembangkang, majoriti Muhyiddin berkurang satu kerusi

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat memberitahu beliau sebenarnya menyokong pembangkang sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di Sarawak.

Pemimpin dari Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu menjelaskan beliau diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pagi semalam.

“Oleh kerana tempat duduk itu telah ditetapkan, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan untuk saya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anggota majlis presiden PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Masir menegaskan beliau tidak seharusnya diatur oleh Speaker untuk duduk dengan barisan ahli Parlimen PN memandangkan PSB tidak menyokong PN.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan memiliki sokongan majoriti mudah ahli Parlimen berdasarkan susunan tempat duduk dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

Seramai 114 ahli Parlimen termasuk Masir berada di blok kerajaan mengikut pelan tempat duduk di Dewan Rakyat yang dikeluarkan pihak Parlimen.

Untuk rekod, PSB menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

GPS bersama Umno, Bersatu, Pas, MCA dan MIC membentuk kerajaan PN pada Februari lalu selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.