Malaysia Dateline

MP Tanjong tidak dapat hadir Parlimen selepas pegawai pengiring positif Covid-19

Lantaran seorang pegawai pengiringnya sah dijangkiti Covid-19, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow diarah untuk menjalani kuarantin di rumah.

Ahli Parlimen Tanjong itu berkata, beliau menerima arahan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, hari ini.

Sehubungan itu, wakil rakyat DAP itu tidak dapat menghadiri persidangan khas Parlimen, esok dan perlu menjalani satu lagi ujian saringan pada 28 Julai ini.

“Saya dimaklumkan seorang pegawai pengiring saya disahkan positif Covid-19.

“Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan saya menjalani kuarantin di rumah mulai sekarang,” katanya lapor BH.

Kon Yeow berkata, saringan Reaksi Rantai Polimerase Transkripsi Berbalik (RT-PCR) yang dijalani 23 Julai lalu menunjukkan keputusan negatif.

“Saya menjalani ujian itu seperti diwajibkan oleh pihak Parlimen bagi persidangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.

“Namun, kini saya diarahkan untuk menjalani kuarantin dan ia sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat,” jelasnya lagi.