Malaysia Dateline

MP Temerloh agih sumbangan kepada mangsa banjir

Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir turun menziarahi mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir semalam.

Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya itu melawat mereka terbabit di Kampung Paya Dalam dan Taman Sri Semantan yang terletak dalam Parlimen Temerloh.

Untuk rekod, Anuar yang juga bekas Setiausaha Agung AMANAH telah diserang strok sejak kira-kira dua tahun.

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam sidang media di Pusat Operasi Bencana Alam (POBA) Temerloh semalam berkata, pihaknya telah memberi bantuan berupa peralatan dapur kepada mangsa-mangsa banjir.

“Kami akan sentiasa memberikan perhatian. Setakat ini, kita telah memberikan bantuan yang sepatutnya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh yang beroperasi sejak bencana banjir ini melanda.

“Kami cuba untuk melawat beberapa kampung dan daerah yang terlibat banjir.

“Dalam tempoh seminggu ini, pimpinan-pimpinan utama; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; saya sendiri turun melawat.

“Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Setiausaha Agung AMANAH) pula sejak awal sampai (di Temerloh) mengenalpasti bentuk-bentuk bantuan dan mengumpul dana untuk membantu mangsa banjir yang teruk terkesan dengan bencana banjir besar ini,” kata Salahuddin lagi.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.