Malaysia Dateline

MP Temerloh lulus peruntukan RM124,000 kepada mangsa banjir

Ahli Parlimen Temerloh Datuk Mohd Anuar Tahir cukup terkesan dengan ujian bencana banjir yang menimpa rakyat Temerloh dan mengambil berat atas kerugian dan kepayahan yang ditanggung kesan dari bencana itu.

Sebagai langkah segera, beliau telah meluluskan peruntukan sumbangan sejumlah RM124,000.00 kepada beberapa NGO bagi usaha bantuan kepada mangsa banjir.

“Dengan kerjasama AMANAH Kawasan Temerloh, kami telah mengaktifkan Pusat Operasi Bantuan Bencana Alam (POBA) Temerloh bertempat di Pejabat Ahli Parlimen Temerloh sejak Isnin lepas (20 Disember 2021) yang berperanan sebagai pusat penerimaan dan pengagihan sumbangan banjir dan koordinasi kerja-kerja bantuan banjir.

“Kami mengalu-alukan kehadiran sukarelawan-sukarelawan dari seluruh negara untuk menggerakkan usaha membantu rakyat Temerloh yang terkesan akibat banjir terutamanya usaha membersihkan kediaman dan kedai serta bantuan-bantuan keperluan asas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub, bersama SU Agung AMANAH Datuk Wira Dr Hatta Ramli yang segera mengunjungi mangsa banjir di Temerloh pada 21 Disember 2021 dan juga Presiden AMANAH Mohamad Sabu pada 25 Disember 2021.

Dalam kemampuan yang terhad ketika ini, beliau juga berjanji akan hadir bersama penduduk di Temerloh pada hari Isnin, 27 Disember 2021.

“Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal buat semua rakyat Temerloh yang menyambutnya. Semoga tahun baru 2022 lebih baik buat kita semua,” katanya.