Malaysia Dateline

MP Temerloh teruskan misi bantuan pasca banjir

Setelah sekian lama tidak keluar rumah ekoran masalah kesihatan yang memburuk, Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir pada semalam meninjau ke kawasan parlimennya bagi melihat sendiri anak buahnya membantu penduduk yang dilanda banjir.

Beliau menyertai Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub melawat mangsa banjir sambil menghulurkan bantuan untuk mereka.

Sehingga hari ini, misi bantuan pasca banjir tetap diteruskan di daerah Temerloh, menurut ahli AMANAH Johor, Onn Jaafar yang berkongsi maklumat itu di Facebook.

Setakat petang semalam, daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan seramai 9,400 mangsa daripada 2,742 keluarga diikuti Bentong, 3,718 mangsa (1,338 keluarga) di 18 PPS dan di Bera pula seramai 2,114 mangsa (602 keluarga) di 20 PPS.

Seterusnya, daerah Pekan merekodkan mangsa seramai 1,717 mangsa daripada 556 keluarga di 21 PPS manakala seramai 431 keluarga membabitkan 1,498 mangsa berada di 28 PPS di Maran dan Kuantan pula 1,392 mangsa (354 keluarga) di sembilan PPS.