MP terkejut polis diminta awasi pondok Deklarasi Rakyat di stadium

MP terkejut polis diminta awasi pondok Deklarasi Rakyat di stadium

Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memohon anggota polis negeri itu mengawasi pondok Deklarasi Rakyat di perkarangan Stadium Darul Aman pada hari perlawanan bola sepak.

Pondok Deklarasi Rakyat bertujuan mengutip tandatangan orang ramai bagi mendesak perdana menteri datuk Seri Najib Razak berundur.

Permohonan itu dibuat dalam surat kepada ketua polis Kedah bertarikh 20 April yang ditandatangani oleh setiausaha KFA, Datuk Aminuddin Omar.

Surat tersebut diterima IPD Kota Setar pada 21 April lalu.

“Sehubungan itu, persatuan mencadangkan seramai maksimum lima orang anggota diugaskan untuk emmantau dan memastikan Deklarasi Rakyat tidak di perkarangan stadium semasa hari perlawanan berkuatkuasa pada perlawanan 23 April 2016 sehingga satu tarikh yang akan diputuskan kemudian,” kata surat itu.

Mahfuz yang juga pengerusi penyelaras Gerakan Selamatkan Malaysia Negeri Kedah berkata, pihak polis sewajarnya menjaga ketenteraman stadium daripada sebarang tindakan rusuhan dan keganasan penonton, bukan mengawasi pondok Deklarasi rakyat yang tidak mencetuskan huru-hara.

Beliau juga berkata, pondok Deklarasi Rakyat mendapat perhatian dan sokongan daripada penpnton perlawanan.

“Mereka begitu menghayati peri pentingnya Najib berundur demi untuk kebaikan dan kesejahteraan Malaysia.

“Selalunya KFA meminta bantuan polis menjaga keselamatan daripada sebarang rusuhan dan keganasan penonton semasa atau selepas perlawanan.

“Saya tertanya tanya di mana booth Deklarasi Rakyat yang jadi bahaya dengan hanya kempen tanda tangan di luar Stadium bukan baling botol atau objek tajam dalam padang.

“Petugas Deklarasi tak bawa objek tajam,mereka hanya bawa helaian kertas borang deklarasi untuk ditandatangan oleh penonton. Apa yang perlu ditakuti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KFA yang diketuai menteri besar Kedah Datuk Ahmad Bashah dalam surat tersebut turut meminta pihak polis mengawasi tindakan penyokong yang membuat sorakan kurang sopan di hadapan Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah dan pembesar-pembesar negeri.

“Surat itu juga sangat melucukan apabila KFA yang Presidennya Datuk Ahmad Bashah meminta polis bertindak terhadap penonton yang “boo” dia setiap kali nama dia disebut semasa perlawanan.

“Kacau ni “boo” MB pun kena polis kawal. “Boo” pemain macam mana pula.

“Datuk Bashah kalau tak mahu orang “boo” letak jawatan MB atau jangan pergi mana-mana.

“Saya harap polis jangan ambil tanggung jawab penolakan rakyat terhadap Najib dan Bashah sehingga polis kena berlari keliling stadium cari orang “boo” Bashah dan orang kempen tanda tangan,” katanya.

TAGS