Malaysia Dateline

MP tidak boleh ke Parlimen, rakyat perlu berani bantah darurat

Rakyat Malaysia perlu berani bersuara menentang pengisytiharan darurat selepas wakil-wakil rakyat tidak dapat memasuki Parlimen ekoran persidangan digantung sejak Januari lalu.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, apabila Parlimen digantung, suara dan permasalahan rakyat tidak dapat dibincangkan secara teratur untuk mendapat penyelesaian.

Sebagai contoh isu pertembungan dua tren baru-baru ini, Rafique berkata, sekiranya hal ini dibawa ke Parlimen pasti ia akan menjadi salah satu isu terpenting yang dibincangkan dalam mesyuarat.

“Saya nak menggesa dan memaklumkan bahawa rakyat Malaysia kena berani bersuara, sebab hari ini wakil rakyat yang kita undi tidak boleh pun masuk ke Parlimen.

“Kita perlukan Parlimen kerana seperti mana kata Tun Mahathir, Parlimen merupakan gedung untuk bercakap. Rakyat bercakap menyampaikan persoalan dan kegusaran melalui wakil rakyat mereka.

“Jangan takut dengan tekanan kerajaan kerana rakyat mempunyai hak untuk besuara,” katanya dalam sidang media membincangkan tentang ‘Hak Rakyat dan Darurat: Dari sudut Perlembagaan Negara’ di Facebook NextStep Malaysia hari ini.

Mengulas tentang tindakan mencabar pengisytiharan darurat di mahkamah, Rafique berkata ianya sama sekali tidak berkait dengan isu mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa atau tidak untuk memanggil darurat.

Menurutnya, isu utama yang perlu dilihat, adakah negara benar-benar memerlukan darurat.

Selepas darurat diisytiharkan, beliau berkata pelbagai ordinan mula dikuatkuasakan di mana peraturan itu menyebabkan orang ramai bimbang untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Apabila adanya ordinan berbentuk akta berita tidak benar, itu menimbulkan kerisauan kerana adakah mempersoalkan darurat tersebut merupakan satu berita tidak benar?

“Apabila menteri undang-undang nyatakan dengan jelas bahawa mempersoalkan pengisytiharan darurat membawa kepada kesalahan berita tidak benar, ia beri ‘chilling effect’. Itu menyebabkan kita rasa takkan sebagai rakyat kita tak boleh bersuara,” katanya lagi.