Malaysia Dateline

MP Tumpat buat laporan polis

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi membuat laporan polis kerana dituduh melakukan penyelewengan dalam pentadbiran sebelum ini.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berbuat demikian susulan tuduhan menerusi satu akaun Facebook atas nama Kudin Tumpat.

Muhammad Khairul Azwan Azhan dari Tetuan Afiq Aziz & Co berkata, petang semalam anak guamnya mendapati tuduhan yang mengaitkan Che Abdullah dengan perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

“Laporan polis yang dibuat hari ini sebagai Laporan Maklumat Pertama, bagi tujuan pihak berkuasa memulakan penyiasatan kesalahan fitnah jenayah yang bertujuan merosakkan nama baik Che Abdullah dan jawatan yang disandangnya sebagai Ahli Parlimen serta rekod baik sebagai Timbalan Menteri,” lapor BH ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Tumpat, hari ini.

Sementara itu, Che Abdullah dalam laporannya berkata, sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Timbalan Menteri II dan Ahli Parlimen Tumpat, beliau menjalankan tugas mengikut tatacara perolehan kerajaan yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negara.

“Saya membuat laporan ini bagi menghentikan perbuatan penyebaran fitnah dan tomahan ke atas saya dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaan saya,” katanya.