MP UK tolak Brexit tanpa perjanjian

MP UK tolak Brexit tanpa perjanjian

Anggota Parlimen United Kingdom pada Rabu mengundi menentang langkah Britain meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang Perjanjian Keluar.

Keputusan undian 312 menentang berbanding 308 menyokong menyaksikan anggota Parlimen memihak kepada usul yang menolak Brexit “tanpa perjanjian” di bawah apa jua keadaan.

Perdana Menteri Britain Theresa May berkata terdapat satu “majoriti yang jelas” yang menentang Brexit tanpa perjanjian namun “kemungkiran undang-undang” yang mungkin berlaku ialah UK akan keluar tanpa sebarang perjanjian pada 29 Mac jika tiada kata sepakat dicapai.

Pada Khamis, anggota Parlimen akan mengundi sama ada untuk menangguhkan Brexit.

Pengundian itu, jika keputusannya adalah memihak – dan EU bersetuju dengannya – maka UK tidak akan keluar daripada EU seperti yang dirancang pada 29 Mac.

Meskipun usul yang mungkin diluluskan itu tidak mempunyai kuasa perundangan dan pada akhirnya tidak berupaya mengekang langkah keluar tanpa perjanjian selepas penangguhan, ia membawa pengaruh politik yang kuat.

Selepas rundingan selama dua tahun setengah dan dua percubaan yang gagal untuk meluluskan perjanjian Brexit yang diusulkan May, keputusan pengundian yang menentang langkah keluar EU tanpa sebarang perjanjian masih mencetuskan tanda tanya berkaitan isu bagaimana, bila dan apakah syarat-syarat Britain untuk meninggalkan kelab yang disertainya pada 1973.

Selepas anggota Parlimen menolak usulnya berkaitan perjanjian Brexit buat kali kedua pada Selasa, May berkata ia masih merupakan pilihan terbaik untuk keluar daripada EU secara teratur.

Menjelang pengundian pada Rabu, mata wang pound mengalami kenaikan harian tertinggi pada 2019 apabila pelabur bertaruh kepada keputusan pengundian yang menentang Brexit tanpa perjanjian.

Ia meningkat lagi selepas keputusan pengundian.

Semasa krisis Brexit United Kingdom yang berlanjutan selama tiga tahun semakin menghampiri episod akhir, para diplomat dan pelabur melihat empat pilihan utama: satu penangguhan, perjanjian Brexit May diluluskan pada saat-saat terakhir, langkah keluar tanpa perjanjian yang tidak disengajakan atau satu lagi referendum.

Jika Britain meminta penangguhan, ia akan memerlukan persetujuan kesemua 27 negara anggota lain blok itu.

EU lebih suka satu penangguhan singkat memandangkan pilihan raya parlimen EU dijangka berlangsung pada 23 hingga 26 Mei meskipun tidak jelas jika tempoh itu mencukupi bagi menyelesaikan kebuntuan di London.

Perunding Brexit EU Michel Barnier berkata blok itu perlu mengetahui mengapa Britain ingin melanjutkan rundingan dan terpulang kepada London untuk mencari jalan keluar dari kebuntuan tersebut.

EU berkata tidak akan ada lagi rundingan berkaitan syarat-syarat untuk berpisah.

Semasa ketidakpastian mengenai Brexit menjejaskan pasaran kewangan di seluruh dunia, bank pelaburan seperti Goldman Sachs dan JPMorgan menawarkan kebarangkalian berbeza mengenai hasilnya.

“Kami terus melihat peluang sebanyak 55 peratus bahawa perjanjian Brexit perdana menteri pada akhirnya akan diratifikasi selepas diberikan lanjutan masa selama tiga bulan di bawah Perkara 50,” kata Goldman.

Ia turut meramalkan kebarangkalian sebanyak 35 peratus penarikan balik Brexit dan 10 peratus bagi Brexit tanpa perjanjian.

Sebanyak 52 peratus rakyat Britain mengundi menyokong berbanding 48 menolak pada 2016 untuk meninggalkan blok itu, satu keputusan yang memecah-belahkan parti-parti utama politik dan mendedahkan jurang yang begitu luas dalam masyarakat Inggeris.

Perjanjian Brexit May meliputi perkara-perkara seperti hak warganegara, status sempadan Ireland dan rang undang-undang perpisahan daripada EU.

Ia akan mengeluarkan Britain daripada pasaran tunggal dan kesatuan kastam EU, dasar bersama perikanan dan perladangan serta bidang kuasa Mahkamah Keadilan Eropah.

Ia turut menawarkan tempoh peralihan status quo untuk merundingkan persetujuan perdagangan.

Di bawah langkah keluar tanpa perjanjian, tidak akan ada tempoh peralihan bagi melicinkan gangguan terhadap perdagangan dan peraturan.

Britain akan meninggalkan pasaran tunggal EU yang memiliki kekuatan 500 juta penduduk dan kesatuan kastam serta kembali kepada peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia, yang menyaksikan tarif ke atas banyak import dan eksport.

— BERNAMA-