Malaysia Dateline

MP Umno turut bantah siasat MP kerana tanya soalan

Tindakan polis menyiasat pandangan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh tentang perkahwinan kanak- kanak bukan sahaja dibantah oleh penyokong pembangkang bahkan tidak disenangi Ahli Parlimen dari Umno.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan itu adalah satu contoh yang tidak baik dan bakal  membuka ruang untuk pelbagai tindakan yang tidak perlu.

“Ia satu permulaan yang tidak baik dan bakal membuka pelbagai persoalan yang tidak perlu apabila tindakan Ahli Parlimen/Adun
memberikan pandangan menerusi twitter disiasat,” kata bekas menteri itu menerusi twitter beliau.

Azalina mengulas kenyataan Hannah yang berkata beliau telah dipanggil oleh Polis ke Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai kenyataan beliau melalui twitternya.

“Sekarang ini tanya soalan pun tak boleh. Sidang Parlimen bulan Mei jiga tak diberi peluang tanya soalan,” kata Hannah, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga yang terlibat membuat perancangan dalam isu perkahwinan kanak-kanak.

Bagi netizen, tindakan polis menyiasat Hannah kerana pemimpin Pas yang dipersoalkan oleh Hannah ‘berhati tisu’.

“MP Pas sekarang hati tisu YB. Kena tweet lembut sikit, macam tweet orang bercinta. Hehe,” tulis netizen yang berkicau di twitter dengan nama “Membalak bersama ulama”.

Hannah dalam tulisan asalnya mengenai isu ini bertanya, “Apa akan berlaku kepada road map nasional untuk menentang perkahwinan kanak-kanak apabila MP dari Pas dilantik sebagai timbalan menteri.”

Timbalan Menteri yang dimaksudkan oleh Hannah adalah Datuk Siti Zailah Yusof  (Pas РRantau Panjang) yang mengambil alih tempat beliau sebelum ini.