Malaysia Dateline

MP waras tidak akan selamatkan kerajaan hampir rebah

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub yakin dan percaya tidak akan ada Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan akan menyelamatkan kerajaan PN dalam undi percaya Perdana Menteri nanti.

Katanya, secara logik Ahli Parlimen yang waras tidak akan menyelamatkan sebuah kerajaan yang sudah tiada majoriti.

“Baru saja wartawan tanya saya kemungkinan ada lagi MP PH yang akan menyelamatkan kerajaan PN bila berlaku undi percaya pada PM.

“Saya jawab logiknya tak akan ada MP yang waras akan melompat ke kapal yang jelasnya hampir karam,” ciapnya sebentar tadi.

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyeru semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif dengan jaminan setiap parti akan dilayan secara adil.

PH menegaskan bahawa negara amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.