Hanya di bulan Ramadan sahaja ada bazar khas buat peniaga menjual masakan mereka kepada orang ramai dan menjadi tumpuan mereka yang berpuasa.
Bila pergi ke bazar Ramadan ni pelbagai jenis masakan dan lauk serta kuih muih disajikan, hanya tunjuk dan bayar sahaja jika terlalu penat untuk memasak.
Tapi ada juga pihak yang mengambil kesempatan menjualkan atau menyewakan tapak kepada peniaga warga asing, sedangkan itu tidak dibenar sama sekali.
Disebabkan itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga tempatan di bazar Ramadan.
Ini adalah sekiranya peniaga di sana didapati menyewakan atau ‘menjual’ tapak jualan mereka kepada peniaga warga asing lapor Harian Metro.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah, menegaskan bahawa pihaknya akan menyelia sekiranya ada laporan mengenai warga asing menjual.
Terutamanya jika ada peniaga mengalibabakan lesen atau permit kepada warga asing, pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan mereka.
“Di bawah seliaan MPKB-BRI terdapat 478 petak niaga di sembilan lokasi bazar Ramadan.
“Harga sewa ialah RM570 untuk setiap petak termasuk permit dan khemah,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, dia memaklumkan pihaknya pernah menerima maklumat berkaitan terdapat peniaga warga asing menggunakan lesen peniaga tempatan untuk berniaga di bazar Ramadan.
“Mereka ini (warga asing) biasanya akan mengaku sebagai pekerja sahaja ketika disoal, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya,” tambahnya.
Baca juga: Imegresen tunjuk data makin ramai lelaki Kelantan pilih wanita Thailand untuk dijadikan isteri