Malaysia Dateline

Pasukan penyelamat melakukan kerja kerja menyelamat mangsa kemalangan yang terdiri daripada pelajar tahfiz

MPKB rakam takziah pelajar tahfiz maut dalam perjalanan ke Madinah Ramadan

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB BRI) merakam ucapan takziah kepada semua mangsa dan keluarga pelajar Tahfiz al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan maut pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, sebuah van yang membawa 12 pelajar dan dua guru pengiring dari Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang terbabas sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.

Tujuh pelajar tahfiz terkorban manakala tujuh lagi cedera termasuk lima daripadanya parah.

Mereka dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk mengikuti Daurah Al-Quraan di Madinah Ramadan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB BRI, Ustaz Ropein Hassan berkata pihak tahfiz berkenaan bersetuju untuk menghantar lapan kumpulan ke program Daurah Al-Quraan yang diadakan di Madinah Ramadan.

“Mereka akan menghantar wakil setiap hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu sepanjang Ramadan ini,” ujarnya.

Menurutnya, nahas yang membabitkan 14 mangsa termasuk 12 pelajar adalah kumpulan pertama yang akan mengikuti program itu.

Daurah Al-Quran mula diperkenalkan di Madinah Ramadan bermula tahun ini setiap pagi sehingga tengahari bermula 1 Ramadan lalu.

Mereka yang terkorban ialah Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17; Ahmad Farhan Zulkifli, 14; Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhammad Rahman Rozali, 18; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad yang belum diketahui umurnya.

Sementara itu, di Kuala Krai, tiga jenazah pelajar tahfiz terbabit dikebumikan dalam satu liang lahad di Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang pada pukul 11.25 malam tadi.

Jenazah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16 dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, sebelum itu disembahyangkan di masjid pusat tahfiz berkenaan selepas dibawa keluar secara berasingan daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai bermula pukul 9.30 malam tadi.

Jenazah Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, yang sebelum ini dikatakan akan dikebumikan bersama rakan-rakannya itu bagaimanapun dituntut oleh ibu bapanya yang baharu tiba dari Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Mangsa akan dikebumikan di kampung halamannya di Panji, Kota Bharu.

Sementara itu jenazah Muhammad Rahman Rozali, 18, dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tok Dor Soh, Bachok, jenazah Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dibawa pulang ke Dabong di sini manakala seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad, 14, dibawa pulang ke Pattani.