Malaysia Dateline

MPKJ sedia tawar khidmat nasihat, bantuan kepada Lombok

Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sedia menawarkan khidmat nasihat dan bantuan kepada kerajaan Nusa Tenggara Barat (NTB) untuk mengembangkan industri pelancongan  serta pengurusan sisa buangan.

Ahli Majlis MPKJ, Muhammad Hanafi Jalalludin berkata, terdapat beberapa kekurangan majlis perbandaran tempatan dalam membangunkan sesebuah bandar dengan aktiviti pelancongan.

“Kegiatan ekonomi membolehkan penduduk setempat menjana ekonomi secara tidak langsung menampung tahap kesihatan, kebersihan dan sistem pengurusan sisa buangan,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau adalah seorang daripada delegasi Misi Pelancongan dan Perdagangan Kerajaan Selangor ‘Forum Pelaburan Indonesia-Malaysia: Menghubungkan Lombok ke Selangor dan Dunia’ mulai 16 hingga 19 Disember 2018.

Muhammad Hanafi berkata, misi perdagangan dan pelancongan sangat dialukan kerana ia dapat memantapkan lagi hubungan dua hala Selangor dan Malaysia dengan NTB.

“Kita perlu menjalankan usaha ke arah menggerak atau membangunkan sesuatu tempat seperti Bali.

“Lombok perlu dibangunkan agar bersedia menerima limpahan pelancong antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, walaupun Lombok belum begitu membangun, ia tetap akan menjadi destinasi pelancongan terkenal pada masa akan datang.

“Lombok terkenal dari segi kebudayaan di mana masyarakat itu sendiri mengekalkan tradisi mereka,” katanya.

Beliau berharap kerajaan Indonesia bersama-sama mempertahankan tradisi supaya pelancong boleh datang dan melihat kekayaan budaya di pulau ini.

— BERNAMA