Malaysia Dateline

MPKK bukan alat  propaganda, kata Ali Biju

 

Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak bukanlah alat propaganda dan memecah -belahkan rakyat di negeri ini.

Sebaliknya, MPKK adalah badan penghubung antara rakyat Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam menyampaikan maklumat berkaitan peluang,bantuan dan insentif yang disediakan kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju berkata, dengan penubuhan MPKK, ia akan dapat menerangkan usaha -usaha murni kerajaan pusat seperti pemberian insentif dan bantuan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

“Saya dengan sekeras -kerasnya menyangkal dakwaan bahawa MPKK adalah alat propaganda seperti yang dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Di sini, saya nak bagi tahu MPKK tidak memecah -belahkan perpaduan masyarakat sedia ada, tidak melanggar adat kaum Dayak, tidak bertentangan dengan perjanjian MA63 dan tetap mengiktirafkan Tuai Rumah sebagai Ketua Adat,” tegas beliau dalam satu kenyataan yang di keluarkan di Kuching hari ini.

Menurut Ali, sebenarnya apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan negeri di bawah GPS memberi arahan tegas supaya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK),Tuai Rumah dan Ketua Kampung tidak menghadiri program atau aktiviti yang dianjurkan oleh wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri,Ahli Parlimen dan Menteri Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan(PH).

Justeru tambah beliau,dengan larangan tersebut akan menyulitkan kerjasama antara rakyat dan kerajaan pusat sekali gus untuk membangunkan kampung dan rumah panjang.

“Walaupun ditolak secara terang, namun rakyat Sarawak mengalu-alukan penubuhan MPKK ini dan kita yakin sebanyak 3,000 kampung dan rumah panjang bakal diwujudkan MPKK menjelang Januari 2020.

“Ini bermakna rakyat Sarawak amat menerima penubuhan MPKK walapun diugut dan ditentang oleh golongan berkepentingan,” ujarnya.

Seterusnya beliau menekankan bahawa hak penubuhan persatuan iaitu MPKK adalah termaktub di bawah perundangan persekutuan, Artikel 10(C) kurungan (1).

Kata Ali, di bawah artikel berkenaan, kebebasan menubuhkan mana-mana pertubuhan adalah terjamin di dalam perlembagaan Malaysia.