Malaysia Dateline

MPKK dilaksanakan di Sarawak tahun depan

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan tetap dilaksanakan dan berkuat kuasa di Sarawak pada tahun depan seperti dirancang Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, MPKK akan menjadi “mata dan telinga” Kerajaan Persekutuan di kawasan kampung dan rumah panjang di negeri ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi PKR Sarawak itu menegaskan tidak melihat apa-apa masalah tentang penubuhan majlis berkenaan kerana ia dirancang untuk faedah rakyat.

“Rakyat akan diberi maklumat daripada kerajaan persekutuan dan projek dari persekutuan akan dilaksanakan untuk faedah penduduk di kampung,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan iaitu Jawatankuasa Tindakan Bersama kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan, di sini, semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas.

Menurut Baru, MPKK bukan bertujuan untuk menimbulkan perpecahan atau konflik dalam kalangan komuniti.

“Kami hanya hendak membantu masyarakat, jadi semua projek yang perlu diberikan kepada penduduk kampung dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah turut menafikan Kerajaan Persekutuan PH cuba memecah perintah rakyat Sarawak di peringkat kampung dan rumah panjang dengan melantik tuai rumah sendiri.

Sivarasa sebelum ini berkata, kaedah pelantikan tersebut akan dibincangkan pada peringkat Kementerian dan akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan.