MPKK: Kenapa nak layan saya, soal Husam kepada Mohamad Amar

MPKK: Kenapa nak layan saya, soal Husam kepada Mohamad Amar
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen AMANAH Kelantan kali ke-3 hari ini

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Datuk Husam Musa mengakui bahawa Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah boleh mempersoalkan kredibilitinya dalam membawa isu penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Saya memang tidak ada apa-apa tetapi saya diberitahu apa yang diberitahu Menteri Luar Bandar kepada saya. Ya betul Amar patut persoal siapa saya. Tapi kenapa nak layan saya?

“Saya mengatakan perkara benar ia adalah dasar yang diputuskan Kementerian Luar Bandar dan ia adalah keputusan kabinet,” tegas Husam.

Ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen AMANAH Kelantan kali ke-3 hari ini, Husam menjelaskan lantikan lima anggota MPKK daripada Kerajaan Persekutuan adalah satu tindakan yang baik sekali gus memperlihatkan model baru yang tidak ada diskriminasi.

Beliau berkata, lima orang ini mempunyai peranan tertentu misalnya menangani masalah sosial di Kelantan yang menyebabkan berlakunya ancaman kepada masalah ekonomi dan keselamatan kepada rakyat negeri itu.

“Tanam pisang, pisang hilang. Inilah ancaman masalah sosial menjadi tanggungjawab bersama tetapi ianya lebih kepada kerajaan pusat.

“MPKK ada portfolio keindahan dan keceriaan kampung. Petugas-petugas ini jalankan program keceriaan kampung akhirnya jajahan atau negeri bersih sekali gus beri nilai ekonomi dan kesihatan rakyat. Ini yang dicadangkan kerajaan pusat.

“Mungkin masa dia tolak peruntukan, kerajaan pusat tertarik dengan sendiri jika kerajaan negeri menolak” katanya yang diikuti tepukan gemuruh daripada perwakilan AMANAH Kelantan yang memenuhi dewan di sebuag hotel di Kota Bharu.

Bagaimanapun, Husam berharap kerajaan Kelantan menerima pelantikan lima anggota MPKK kerana peruntukan adalah 100 peratus daripada Kerajaan Persekutuan dan sewajarnya ia dapat dilakukan demi rakyat.

COMMENTS