MPKK: Kerajaan pusat tidak campur tangan urusan pelantikan dan elaun

MPKK: Kerajaan pusat tidak campur tangan urusan pelantikan dan elaun

Kerajaan persekutuan tidak mencampuri urusan pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa.

Sehubungan itu, beliau berkata sebarang pembayaran elaun terletak di bawah urusan kerajaan negeri.

“Sebagai contoh di Sarawak, pelantikan tuai rumah atau ketua kaum dilantik di bawah undang-undang tertentu, tidak diganggu dan diusik…dan tangungjawab untuk bayar apa-apa elaun kepada MPKK sedia ada merupakan tanggungjawab negeri yang melantik mereka,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Pada 27 Jun tahun lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengumumkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kini dikenali sebagai MPKK.

Sementara itu, Sivarasa ketika memberi alasan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di lima negeri yang bukan di bawah PH, kerana ia sangat penting agar maklumat dan manfaat kerajaan dapat disampaikan dan dinilai oleh rakyat.

“Soal pertindihan tidak timbul dan saya kurang setuju jika ada pekeliling yang saya sifatkan amat ekstrem apabila melarang menghadiri program wakil rakyat PH,” katanya merujuk kepada pekeliling larangan kepada ketua-ketua masyarakat dan ahli JKKK di Sarawak.

Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan pekeliling arahan kerajaan Sarawak menghalang ketua kampung dan ketua komuniti daripada menghadiri majlis anjuran kerajaan persekutuan.

Pada 30 Okt lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan, MPKKP akan berkuat kuasa dan memulakan tugas pada Januari 2020 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi peruntukan sedia ada.

MPKKP akan diwujudkan di lima negeri yang bukan di bawah kerajaan Persekutuan manakala MPKK tidak lagi di bawah tanggungan kerajaan, serta pihak negeri boleh meneruskan dengan pembiayaan sendiri.– BERNAMA