Malaysia Dateline

MPKK mampu kukuhkan perpaduan, kata Fidzuan

Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak dilihat mampu mengukuhkan perpaduan yang sedia ada di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Pengerusi Parti AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata MPKK adalah sebagai sebuah badan penghubung antara kerajaan pusat dan rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk menyalurkan maklumat khususnya mengenai projek pembangunan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya dengan adanya MPKK,maka keseluruhannya rakyat dapat menerima informasi sekali gus berupaya membina jalinan kerjasama yang lebih erat dalam memajukan kampung atau di kawasan rumah panjang mereka.

“Sebenarnya MPKK tiada masalah untuk bekerjasama dengan badan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah kerajaan negeri demi untuk memajukan kampung, rumah panjang atau taman -taman perumahan di Sarawak.

“Ini kerana, kami dari Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap mengambil langkah positif dan pro aktif dalam memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat di negeri ini, ” jelas beliau.

Mohamad Fidzuan menjelaskan, MPKK adalah di bawah Kerajaan Persekutuan manakala JKKK di bawah Ordinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum 2004.
“Dengan demikian, pelantikan MPKK adalah tidak bertentangan dengan undang-undang tetapi sebaliknya merupakan sebagai penghubung antara Kerajaan Pusat dan rakyat di negeri ini bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan nanti.

Mohammad Fidzuan turut menafikan dakwaan sesetengah pihak terutamanya di kalangan pemimpin negeri di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyatakan penubuhan MPKK akan memecah belahkan rakyat di Sarawak.
Tambahnya, GPS seolah takut dengan “bayang -bayang” sendiri selepas gagal memberi khidmat yang terbaik di negeri terutamanya di kawasan kampung dan rumah panjang di pedalaman.