Malaysia Dateline

MPKK penghubung  pembangunan di Sarawak 

Penubuhannya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak bukanlah alat untuk memecah perpaduan kaum malah ia adalah penghubung pembangunan rakyat di negeri ini dengan Kerajaan Persekutuan.
Abd Aziz Isa

Pegawai Khas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen, Abdul Aziz Isa berkata, kini pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memainkan sentimen bahawa penubuhan MPKK di negeri ini boleh menggugat perpaduan kaum.

Sebaliknya jelas beliau,penubuhan MPKK merupakan penghubung bagi penduduk dan masyarakat di Sarawak menerima pembangunan yang telus daripada kerajaan pusat.

“Saya melihat dalam media sosial mengenai kecaman dan memperlekehkan penubuhan MPKK di sini terutamanya dari kalangan pemimpin GPS.

” Tetapi apa yang kita dapati, rakyat Sarawak mahukan penubuhan tersebut sebagai pintu untuk penduduk dan masyarakat khususnya yang tinggal di luar bandar dan pedalaman menerima dengan telus projek pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Majlis Program Sepakat @Komuniti Peringkat Komuniti di Sekolah Kebangsaan Landeh di Kuching hari ini.

Program tersebut adalah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sarawak.

Aziz berkata, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Kitang telahpun berjaya menubuhkan sebanyak 16 MPKK sekali gus membuktikan rakyat secara keseluruhannya menerima cadangan berkenaan.

Tambah beliau,selain Dun Batu Kitang, kawasan lain di seluruh Sarawak termasuk di Lawas telah berjaya menubuhkan MPKK masing-masing di tempat mereka.

Ditanya proses penubuhan MPKK yang melalui kelulusan Pejabat Daerah di bawah kuasa kerajaan negeri, beliau menjelaskan MPKK adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar(KPLB).

“Senarai nama Ahli-ahli Jawatankuasa MPKK akan dihantar kepada KPLB seterusnya akan diperhalusi sebelum disahkan kelayakan untuk berada dalam MPKK,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Penerangan Daerah Kuching Magdellina Alfred Jeho dan Guru Besar SK Landeh Nur Sarah Stephen.

.