Malaysia Dateline

MPKK: Semakin ditolak, semakin kuat rakyat Sarawak menerima

Saban hari berita tentang penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak kian menjadi tumpuan.

Akhbar -akhbar utama di negeri ini hampir setiap hari melaporkan perihal pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari bawah sampailah yang berjawatan tertinggi mahupun melalui Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) bermain dengan kata-kata untuk penduduk di negeri ini menolak MPKK.

Momokan cerita dan skrip dari pemimpin tertinggi sehinggalah kepada JKKK sangat puitis, apatah lagi dalam bab memujuk marhaen untuk kekal dengan badan yang sedia ada (JKKK) di kampung-kampung ataupun di rumah-rumah panjang.

Boleh dikatakan apa jua majlis dihadiri,itulah peluang untuk mengecam dan menolak MPKK.

Tetapi yang hairan bin ajaibnya, semakin dikecam dan ditolak, semakin kuat rakyat di negeri ini bangkit memberi sokongan penubuhan MPKK.

Al-maklum, telah diberitakan bahawa hampir di seluruh ceruk bandar, desa dan rumah panjang di Sarawak mengalu-alu ‘kehadiran’ MPKK.

Sejak semalam selepas penyerahan borang penubuhan fasa pertama,dianggarkan sebanyak 2,000 buah kampung dan rumah panjang bakal diwujudkan MPKK.

Manakala untuk fasa kedua selewat-lewatnya hujung November ini dijangkakan bakal menerima banyak lagi borang penubuhan di seluruh Sarawak.

Ibarat ‘sudah terang lagi bersuluh’. Mungkin inilah ‘signal’ daripada rakyat di negeri ini khususnya kepada pemimpin di negeri ini yang seolah -olah umpama ‘pejuang lesu’ dalam memartabatkan kehendak rakyat lebih-lebih lagi yang tinggal nun jauh di pedalaman.

Masalah air, elektrik, jalan raya merupakan perkara asas yang menjadi ‘igauan’ rakyat yang belum diselesaikan sejak merdeka.

Maka, di sinilah peranan JKKK di bawah kerajaan negeri dilihat gagal atau hanya layak membawa beg hitam persis ‘James Bond’ ke hulu dan ke hilir tetapi entah apa isinya.

Sebenarnya banyak sebab kenapa GPS dan JKKK sedaya -upaya menghalang dan menolak MPKK ditubuhkan di negeri ini.

Antaranya ialah sokongan PH akan ‘merasuk’ ke pelusuk kampung dan rumah panjang dengan penubuhan itu.

MPKK akan bertanggungjawab melaporkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebagai pembiaya dana.

Seterusnya geran dan dana dari Kerajaan Pusat yang diterima oleh JKKK selama ini akan disalur kepada MPKK.

Dengan itu, JKKK terpaksa bergantung kepada dana daripada negeri dan ini menambah beban kewangan kerajaan negeri.

Paling menarik elaun Pengerusi JKKK (Ketua Kaum dalam konteks Sarawak yang menerima RM500 sebulan manakala AJK lain TIDAK dibayar elaun) akan disalur kepada Pengerusi MPKK.

Maknanya, kerajaan negeri terpaksa menanggung sendiri elaun Pengerusi JKKK merangkap ketua kaum manakala KPLB akan membiayai elaun Pengerusi, Setiausaha dan AJK MPKK.

Bagi kursus-kursus pengurusan dan berkaitan JKKK/KKMK sebelum ini telah dianjurkan dan ditanggung oleh KPLB dan agensi berkaitan.

Tetapi selepas tertubuhnya MPKK, maka fokus dan sasaran kursus sudah tentu kepada ahli jawatankuasa MPKK sementara kerajaan negeri terpaksa membiayai sendiri kursus-kursus JKKK.

Sebab lain ialah Pengerusi MPKK berkuasa menandatangani dan mengesahkan borang bantuan, dokumen dan surat rasmi untuk kegunaan Kerajaan Persekutuan sebagai pemegang jawatan rasmi bawah Kerajaan Malaysia.

Sesungguhnya, MPKK bukan sahaja dinanti-nanti oleh rakyat di negeri ini malah ia amat ‘menakuti’ GPS dan JKKK itu sendiri.