Malaysia Dateline

MPKKP atau JKKK: Rakyat Sarawak bijak menilai

Perihal Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) semakin hangat di seluruh pelusuk Bumi Kenyalang.

Pelbagai versi didengari, dikupas dan dijaja dari mulut ke mulut.

Ceritanya tersangat epik bak kisah bawang putih dan bawang merah.

Mungkin MPKKP tidak bermasalah jika diwujudkan andai tiada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung(JKKK) terlebih dahulu diciptakan.

Agak menarik untuk dibicara. Sudah menjadi lumrah, barang yang lama mesti di “brand” kan semula.

Kalau tidak, ia sudah terlalu lusuh dan sukar digosok dakinya.

Dipanjangkan bicara. Kenapakah MPKKP ditubuhkan dan kenapa JKKK bermatian-matian menolaknya.

Tidak adil jika mengatakan JKKK kurang berfungsi dan adalah tidak adil juga jika dikatakan MPKKP itu pencetus huru-hara di negeri.

Ingatlah pesan orang-orang tua dahulu kala. ‘Tak kenal, maka tak cinta’ dan ‘ sekilas air di laut, sudah tahu ikan apa di dalamnya’.

Sebenarnya ‘jenama’JKKK sudah pun lama dikenali di Sarawak. Mungkin sejak merdeka 1963.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai ‘mata dan telinga’kepada pemerintah.

Kerja ‘extranya’ ialah sebagai pemberi ‘maklumat’ kepada pemimpin politik di kawasan andai terdapat anak kampung ‘condong’ ke arah politik lawan.

Paling ‘tragis’ jawatan Pengerusi JKKK ibarat satu lesen besar untuk empunya badan bertuah mendapat atau dipilih memegang jawatan lain di dalam kampung.

Maka tidak hairanlah, jika pertubuhan seperti Pengerusi Masjid, Parti, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan pertubuhan lain, orangnya tetap sama iaitu Sang Pengerusi JKKK bin Ketua Kaum atau Tuai Rumah atau Penghulu atau Pemanca.

Hakikinya ‘mohor’ jawatan tersebut kalau sebolehnya nak dibolot semua.

Lagi menarik,untuk bersinggahsana mengisi jawatan sebagai Pengerusi JKKK, seseorang itu mestilah menunjukan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada parti pemerintah.

Bayangkan jika dilantik sebagai Pengerusi Ranting parti pemerintah, maka peluang untuk naik ‘pangkat’ jawatan Pengerusi JKKK dan secara automatiknya merupakan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Tuai Rumah amat cerah.

Jika prestasi memuaskan ditambah dengan ‘bodek’ yang berkesan, kenaikkan pangkat ke jawatan Penghulu, Pemancar seterusnya Temenggong semakin menyinar.

Satu lagi ‘keajaiban’ jawatan tersebut khususnya sebagai Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum ialah tempoh perkhidmatannya sentiasa diteruskan meski anak-anak kampung tidak ‘berkenan’ dengan kemampuan kepada si polan pemegang jawatan.

Mungkin inilah satu-satunya jawatan yang kekal sehingga ke akhir hayat dan paling ‘dasyat’ jawatan itu boleh disambut oleh anak atau keluarga bila si pemegangnya meninggal dunia.

Jelas maksudnya, jawatan Pengerusi JKKK, Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum adalah jawatan ‘keturunan’ dari generasi ke generasi selagi Sang Pemerintah itu kekal.

Berbalik bicara tentang MPKKP.Sekarang heboh satu Sarawak pasal MPKKP.

Hebohnya mengalahkan ‘drama bersiri 1MDB’.Tetapi kesian keseluruhan pribumi di Sarawak tidak dapat mengikuti drama itu. Ini disebabkan tiada akses seratus peratus ‘arus’ elektrik di negeri ini bagi mengikuti ‘santapan nurani’ drama 1MDB di kaca tv atau di corong radio.

Penolakan MPKKP semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Barisan JKKK yang dinaungi pemerintah negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) giat meraih sokongan rakyat untuk menolak MPKKP.

Walaupun dikecam, diugut dan dicaci namun dilihat tidak mematahkan semangat penduduk dan masyarakat di Bumi Kenyalang menerimanya.

Benarlah seperti yang diluahkan ramai pemimpin Ahli Parlimen baik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan MPKKP adalah jambatan bagi rakyat menerima polisi pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

Memetik kenyataan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin bahawa parti pemerintah GPS sebenarnya yang cuba memecahbelahkan rakyat di negeri ini.

Buktinya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dihalang untuk tidak hadir apa jua majlis atau program yang dianjurkan oleh wakil rakyat daripada PH.

Jelaslah di sini bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah menolak kerjasama dengan Kerajaan Pusat sedangkan 99.99% kehidupan penduduk melibatkan sentuhan polisi Kerajaan Pusat.

Menurut Willie, Kerajaan PH tidak mahu rakyat Sarawak menderita dan terpinggir hanya kerana keegoan dan tindakan rakus survival politik GPS.

Katanya, hanya dengan adanya MPKKP, maka program pembangunan Kerajaan Persekutuan akan berjalan lancar tanpa timbul karenah daripada kerajaan negeri.

Diakhir kenyataan, Willie berharap agar anak -anak Sarawak bangkit menyatakan hak mereka tanpa ada perasaan takut dan prejudis.

Sesungguhnya rakyat Sarawak amat bijak menilai sepanjang 56 tahun di bawah GPS yang dahulunya Barisan Nasional (BN) dalam memperjuang untung nasib penduduk pribumi terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Keresahan rakyat tentang masalah utama seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya umpama tiada kesudahan.

Maka, kehadiran MPKKP bakal memberi sinar baru untuk rakyat membawa ‘muka’ memohon bantuan menyelesaikan masalah yang gagal diamanahkan kepada JKKK dan parti pemerintah selama ini.