Malaysia Dateline

MPKKP mekanisme baru majukan rakyat Sarawak

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah mekanisme baru untuk memajukan rakyat di Sarawak.

Ketua Cabang Parti Keadlian Rakyat (PKR) Santubong Ahmad Nazib Johari berkata, MPKKP ditubuhkan di negeri ini adalah bertujuan untuk terus membela nasib rakyat di Sarawak.

Katanya,struktur lama iaitu Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) telah terbukti gagal dalam memperjuang dan membangunkan nasib pribumi selama ini.

“Saya nak tanya kenapa pemimpin Gabungan Parti Sarawak(GPS) sangat takut dengan penubuhan MPKKP ini?.

“Adakah MPKKP ini dilihat sebagai ancaman yang boleh memecahkan monopoli dan penguasaan minda oleh GPS ke atas penduduk Sarawak sejak sekian lama melalui JKKK?,” tegasnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Jelas Ahmad Nazib, GPS sebenarnya masih mahu mengekalkan budaya ‘angguk-angguk,geleng-geleng’ oleh JKKK sejak berkurun lamanya sehingga rakyat Sarawak dilabelkan antara yang termiskin dalam negara ini.

Beliau menambah,jika benar GPS mahu membangunkan ekonomi penduduk Sarawak khususnya penduduk kampung dan rumah rumah panjang, mereka seharusnya mengalu alukan penubuhan MPKKP dan sepatutnya berterima kasih kepada Kerajaan PH kerana ia adalah landasan untuk kerajaan pusat berhubung dengan rakyat di akar umbi dan menyalurkan pembangunan serta dana kepada rakyat Sarawak.

Namun sebaliknya, tambah beliau GPS menolak MPKKP dengan alasan bahawa akan memecahbelahkan penduduk Sarawak adalah tidak masuk akal sama sekali.

“Tugas sesebuah kerajaan adalah menyatupadukan rakyat, bukannya memecahbelahkan rakyat. Siapakah sebelum ini yang menghalang JKKK dan ketua ketua kaum untuk hadir program program anjuran Kerajaan PH? Adakah tindakan menghalang itu untuk menyatupadukankan rakyat atau memecahbelahkan rakyat? Siapakah yang sebenarnya memecahbelahkan rakyat?

“Kepada rakyat Sarawak, bukalah minda kita semua. Janganlah terus dibelenggu oleh rasa tunduk dan hormat membabi buta kepada pemimpin yang hanya takut hilang jawatan.

“Tetapi takutlah negeri kita ini akan terus mundur dan ditimpa kemiskinan yang berpanjangan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Nazib berharap agar rakyat di Sarawak perlu bijak menilai kerana Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) mahukan suara yang seimbang daripada akar umbi dan seluruh masyarakat bagi kemajuan bersama nanti.