Malaysia Dateline

MPKKP memperkasakan agenda Kerajaan Persekutuan di Terengganu

Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu, Zulkifli Ali menyifatkan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah sebagai usaha terbaharu bertujuan memudahkan segala inisiatif Kerajaan Persekutuan sampai terus kepada rakyat terutamanya di negeri pentadbiran pembangkang.

Katanya, MPKKP akan menjadi penghubung terus dan telus antara rakyat dan wakil kerajaan persekutuan secara langsung akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat itu sendiri.

“Saya mengambil maklum perbincangan hangat mengenai MPKKP sehari dua ini di laman sosial terutamanya di laman Facebook utama AMANAH Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan media tempatan, Sabtu lalu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar berkata, langkah Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan MPKKP bermula 1 Januari 2020 dilihat bakal menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia satu langkah ke belakang yang jelas bertentangan dengan objektif untuk mewujudkan perubahan dalam kalangan masyarakat supaya lebih harmoni.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa memaklumkan bahawa penubuhan MPKKP akan tetap diteruskan bermula 1 Januari tahun depan di lima negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak.

R Sivarasa yang juga Ahi Parlimen Sungai Buloh menjelaskan perkara berkenaan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat selepas ia dibangkitkan oleh beberapa wakil rakyat.